KAEDAH PELAKSANAAN PROGRAM

PENCALONAN MURID
Pencalonan murid pemulihan adalah proses utama kepada pemilihan calon untuk ditempatkan di dalam program pemulihan.  Pencalonan murid pemulihan boleh dilakukan oleh beberapa pihak seperti yang berikut:
Guru Kelas
Guru kelas boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas berdasarkan pencapaian murid dalam kemahiran asas 3M (menulis, membaca dan mengira), hasil kerja murid dalam kelas atau keputusan ujian bulanan, semester atau ujian setiap kemahiran.
Guru Mata Pelajaran
Guru mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik boleh mencalonkan murid yang diajar oleh mereka untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan pencapaian mereka.  Apabila murid-murid ini lemah dan tidak menguasai kemahiran yang disasarkan, maka mereka layak untuk dicalonkan ke atas pemulihan.
Guru Besar
Guru besar boleh mencadangkan murid-murid berdasarkan penelitian kad-kad laporan murid dan pemerhatian secara am sama ada di sekolah atau di luar sekola.
Ibu Bapa/Penjaga
Ibu bapa atau penjaga boleh mencalonkan anak-anak mereka untuk mengikuti program pemulihan berdasarkan masalah pembelajaran anak-anak mereka.

PENGUMPULAN MAKLUMAT
Butir-butir individu dan prestasi murid akan menolong guru pemulihan memahami murid yang dicalonkan.  Hal ini akan membolehkan seorang guru pemulihan membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti program pemulihan atau tidak.  Daripada rekod individu, guru pemulihan dapat tahu tentang beberapa aspek penting seperti kesihatan, taraf ekonomi keluarga dan kebudayaan di rumah yang mungkin ada hubungan dengan kegagalan murid.  Kemajuan akademik dapat menunjukkan prestasi murid dalam mata pelajaran asas.
Guru besar boleh bercampurtangan berdasarkan peninjauan rekod murid, pemerhatian dan perhubungan.  Guru kelas pula boleh menambahkan maklumat dengan mengambil tahu berkenaan dengan kehadiran, ketepatan masa ke sekolah, kadar dan taraf kerja, kebiasaan-kebiasaan serta perhubungan dengan murid-murid lain.  Ibu bapa juga boleh memberitahu tentang tingkah laku umum, kegemaran dan perkara-perkara yang tidak gemar serta sikapnya terhadap pelajaran.  Borang rujukan yang boleh menunjukkan secara umum kelemahan-kelemahan murid kerana borang rujukan mengandungi kemahiran asas membaca, mengira dan tingkah laku di dalam bilik darjah.

UJIAN SARINGAN
           Ujian saringan ialah satu instrumen pengukuran yang menyeluruh terhadap kekuatan dan kelemahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas oleh murid secara individu untuk dicalonkan bagi mengikuti program pemulihan.  Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan bantuan pemulihan.  Dengan perkataan lain, ujian saringan bertujuan untuk menentukan calon yang layak untuk dimasukkan ke program pemulihan.
Bahan atau topik dalam ujian saringan merangkumi kerja-kerja yang telah diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan.  Oleh itu, senarai kemahiran yang diuji hendaklah ditentukan dan direkodkan ke dalam Jadual Penentu Ujian.  Ujian boleh dijalankan apabila pencalonan diterima.  Selain itu, ujian akan dilaksanakan secara individu atau kumpulan kecil.  Keputusan ujian ini akan direkodkan ke dalam Borang Rekod Ujian untuk difailkan.  Bilangan murid yang diterima masuk ke kelas pemulihan berdasarkan beberapa faktor iaitu skor yang lemah, jenis masalah yang dihadapi oleh murid dan ruang yang ada untuk kelas pemulihan.

UJIAN DIAGNOSTIK
      Ujian diagnostik adalah ujian yang terpenting dalam program penulihan.  Ujian ini digunakan untuk membantu guru pemulihan mengesan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap murid.  Ujian diagnosis dibentuk bukan untuk menilai peringkat pencapaian tetapi untuk mengesan masalah-masalah yang dialami ketika belajar dan mengenalpasti punca kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran.

ANALISA UJIAN DIAGNOSTIK DAN PENGAMATAN
           Penganalisaan keputusan hendaklah dikumpul dan direkodkan serta diberi interpretasi dengan cermat untuk memastikan masalah-masalah murid.  Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran.  Cara ini dapat membantu guru mengenalpasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan daerah-daerah kesukaran yang dihadapi.
Analisa kesalahan ujian tersebut dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik.  Berdasarkan analisa kesalahan ujian diagnosis tersebut, guru pemulihan akan mengenalpasti daerah-daerah kelemahan murid yang telah dipilih.  Daerah-daerah kelemahan itu akan membantu guru untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.

TINDAKAN SUSULAN
         Murid yang telah dapat menguasai kemahiran yang telah dipulihkan akan menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa dengan bantuan dan kerjasama daripada guru pemulihan apabila perlu.  Guru kelas, guru mata pelajaran dan guru pemulihan perlu saling bekerjasama antara satu sama lain bagi menunjukkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid pemulihan.
Murid pemulihan yang berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan semula ke kelas biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya.  Mereka akan sentiasa dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa.  Tujuannya adalah untuk melihat perkembangan pelajar tersebut di samping membantu guru kelas biasa dalam proses pengajaran mereka.  Jika terdapat masalah terhadap murid tersebut, maka guru pemulihan akan bertindak segera untuk menyelesaikannya.

No comments:

Post a Comment