Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), pengajaran pemulihan diperlukan bagi:
a) mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
b) mengubah sikap yang negatif dan tingkah laku murid yang menjejaskan pembelajaran.
c) memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.
Menurut Koh (1986), menegaskan pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi kesusahan pembelajaran bagi kanak-kanak yang mengalami kesusahan ini tanpa menghiraukan label-label ke atas murid tersebut seperti bodoh, lambat dan sebagainya.
Menurut Blair (1968), pengajaran pemulihan diperlukan untuk fungsi-fungsi berikut:
a) Untuk menyingkirkan tabiat dan sikap yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan kesalahan atau kelemahan.
b) Untuk mengajar buat pertama kali tabiat, kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah dipelajari. Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid.
Maka, pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan iaitu mengikis tabiat tidak baik yang sedia ada dan kedua ialah untuk membentuk tabiat baik yang belum ada pada murid itu.
Pengajaran pendidikan pemulihan khas adalah untuk memastikan semua murid Tahap 1 menguasai kemahiran asas 3M seperti yang terdapat dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Berdasarkan kepada buku garis panduan tersebut, ia lebih menjurus kepada memenuhi keperluan murid-murid yang gagal mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas biasa. Dalam erti kata lain semua murid Tahap 1 harus dan mampu menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira. Ini bermakna murid-murid Tahap 1 mesti mencapai kompetensi yang disasarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Setelah menguasai kemahiran asas tersebut, murid-murid yang lemah ini dapat meneruskan pembelajaran mereka di kelas biasa. Mereka akan bersaing dengan rakan mereka bagi mencapai tahap kompetensi yang terbaik. Di dalam kelas biasa ini mereka perlu dibantu oleh guru-guru mata pelajaran dan rakan sebaya mereka bagi mengekalkan tahap pencapaian penguasaan kemahiran asas. Keupayaan mereka menguasai kemahiran asas 3 M akan mengurangkan kritikan masyarakat terhadap guru, pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia amnya.
Selain daripada itu tujuan program pendidikan pemulihan khas adalah untuk membina keyakinan diri dan positif murid-murid pemulihan terhadap pembelajaran. Murid-murid pemulihan ini perlu diberi motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri terhadap kebolehan dan bakat yang mereka miliki. Apabila keyakinan diri berjaya ditingkatkan secara tidak langsung murid-murid pemulihan ini akan dapat mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas seperti yang disasarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia juga boleh menggalakkan perkembangan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke tahap yang lebih maju.
Program pendidikan pemulihan khas juga bertujuan untuk mengurangkan bebanan masalah yang dihadapi oleh murid-murid lemah dengan bantuan guru dan pihak-pihak yang berkaitan seperti guru kelas, guru mata pelajaran, guru pemulhan khas, ibu bapa, dan komuniti setempat. Bebanan masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan ini akan dapat diatasi seandainya setiap pihak mempunyai jaringan kerjasama yang jitu antara satu sama lain dan memberi komitmen yang tinggi bagi mencapai hasrat semua pihak.
Melalui program pendidikan pemulihan khas murid-murid yang lemah juga berpeluang untuk mendapat hak yang sama seperti yang dinikmati oleh rakan-rakan sebaya dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial sama ada di dalam dan di luar bilik darjah. Kegagalan murid untuk turut serta dalam aktiviti sosial di sekolah mereka dengan sendirinya dapat di atasi setelah mereka melalui program pendidikan pemulihan khas di sekolah. Justeru itu murid-murid pemulihan ini akan mendapat layanan dan kemudahan yang sesuai dengan tahap kebolehan mental mereka tanpa wujudnya kecurigaan dan kebimbangan oleh pihak-pihak tertentu. Hasrat pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan tercapai bagi mengatasi masalah disiplin yang ditimbulkan oleh murid-murid yang tercicir ini.
No comments:
Post a Comment